Thursday, December 25, 2008

Jalan Mati

Pekat jalanan,
lorong yang menghitam balik suram

Lolong-lolong anjing dengus,
minta pulang di selamatkan…

Maju deru
meruntuhkan rasa…

Kita harus maju!!

Iya ibu, iya bapak,
aku ingin maju…
cuma carikkan kuntum kemboja
untuk kepulanganku

Rasa Rasa

Rasa-rasanyalah…
kita punya perasaan
ingin rasa kecintaan
penghargaan
rasa-rasa yang tak tertewas
rasa musnah
rasa berantakan
rasa berontak!
Amarah!!
Dendam!!

Rasa-rasa ini pemangkin rasa
yakin perasaan itu cuma rasa
rasa-rasa mustahil


kita manusia perasa
penuh rasa-rasa


©lahir pada 160707

Kerja Dan Sekolah (Satu Pengalaman)

Deria hidup manusia kini semakin tajam berbanding tujuh puluh tahun dahulu. Kesusahan untuk mendapatkan pendidikan tidak lagi sesukar dahulu. Dahulu kanak-kanak yang tidak bersekolah akan dibiarkan mencari arah tuju sendiri, tetapi beberapa tahun lalu wujud undang-undang yang mewajibkan kanak-kanak yang berusia tujuh tahun tetapi tidak bersekolah, ibu bapanya akan dihukum penjara. Mahu atau tidak, kanak-kanak terpaksa bersekolah. Mampu atau tidak, harus bersekolah. Saya bernasib baik kerana dapat bersekolah. Kerana itu saya boleh menurut arus semasa sehingga ke hari ini. Saya sengaja menyebut undang-undang persekolahan di atas kerana saya ada cerita yang ingin dikongsi bersama. Cerita semasa saya di bangku sekolah rendah. Zaman yang menyakitkan bagi saya kerna saya terpaksa belajar dan bekerja untuk membantu meringankan beban keluarga. Saya terpaksa, dipaksa oleh ayah. Katanya saya perlu belajar hidup susah kerna dunia ini jarang memungkinkan kemewahan untuk orang susah seperti kami. Saya mula belajar mengenal tumbuhan hutan dan meredah belukar seawal usia tiga tahun. Saya mula belajar mengikat batu dan membancuh simen seawal usia sembilan tahun. Saya mula belajar mengecat rumah pada usia sepuluh tahun. Pendidikan yang saya lalui pada ketika itu sama seperti dengan kanak-kanak yang seusia dengan saya, tetapi sedikit-sebanyak berbeza sebenarnya (saya masih memakai seluar pendek sehingga saya berada di tahun tiga yang pada ketika itu bulu-bulu halus mulai tumbuh di kaki saya). Bagi saya pada ketika itu saya tidak senang berada di sekolah kerana semangat saya untuk hidup seperti kanak-kanak biasa pudar kerna kesusahan keluarga. Bayangkan saya hanya berbekalkan lima puluh sen setiap hari untuk berbelanja. Kerna itu setiap kali tamat persekolahan saya menjadikan gerai Mak Cik Van sebagai sasaran saya untuk mencuri makanan (ibu saya pada ketika itu bekerja dan hanya akan pulang pada pukul lima, dan kami sekeluarga pada ketika itu cuma mampu makan malam sahaja. INI BUKAN OMONGAN!). Dan setiap kali saya dapat mencapai sesuatu dari van kecil berwarna putih itu, akan saya kongsi dengan adik lelaki saya yang pada ketika amat comot rupanya, turut memakai seluar pendek milik saudara yang dihadiahkan kepada saya lalu diberikan pula kepada adik lelaki saya. Saya terbayang senyumannya setiap kali saya dapat habuan dari rompakan saya, terutama kepingan burger yang telah siap digoreng yang pada ketika itu berharga empat puluh sen. Dan daging sekeping itulah yang menjadi alas perut kami sehingga malam. Sementara menunggu ayah menjemput kami dengan motor Suzuki cupnya (dengan motor itulah saya belajar menunggang pada usia saya lapan tahun). Ayah akan sampai selepas tiga puluh minit sesi persekolahan tamat kerna kayuhan enjin motorsikalnya…(faham-faham sendiri la dengan motorsikal yang ayah beli dengan harga RM100). Sesampainya dirumah, saya akan terus bersiap menyarung pakaian kotor dan membonceng kembali motosikal berbudi tersebut menuju ke tapak pembinaan. Kalau hari Jumaat, lokasi kami berlainan pula kerna hari Jumaat adalah hari untuk ayah dan saya meredah belukar, mencari jalan baru untuk mencari rebung, pucuk paku ataupun apa sahaja yang boleh dijual. Yang dicuri pun ada… saya pernah hampir dibaham harimau di hutan Beting. Pada ketika itu semasa dalam perjalanan pulang selepas memetik pucuk paku, saya diturunkan oleh ayah di satu kawasan air terjun kerna dia keciciran parangnya. Saya disuruh turun oleh ayah kerna dengan keadaan motorsikal dan perjalanan kembali yang menaiki bukit akan melambatkan, termasuk dengan dua guni pucuk paku yang menjadi rezeki kami. Dengan berat hati kerna ditinggalkan, saya duduk menunggu bersebelahan dengan dua guni pucuk paku yang masih segar. Sementara menunggu, saya menghabiskan masa dengan bernyanyi-nyanyi sekuat yang mungkin. Perasaan takut ditinggalkan memang ada, dan sesekali saya mencuit gigi air yang mengalir dari air terjun di hadapan saya. Hampir sejam kemudian, baru ayah sampai. Tiba-tiba dengan keras ayah mengarahkan saya gegas menaiki motorsikal. Saya mencapai kedua-dua guni terbabit dan tanpa sempat saya membetulkan duduk saya di atas motorsikal, ayah terus memecut menuruni bukit terbabit. Sesekali ayah hampir melanggar tebing. Saya tidak bertanya apa-apa kerna pada ketika itu mungkin ayah ingin cepat pulang. Hanya apabila kami berhenti singgah di gerai sambil menghirup “oren bodoh”, baru ayah membuka mulut. Katanya di atas belukar air terjun tempat saya menunggu tadi, dia ternampak seekor harimau yang sedang memerhatikan kami. Serta merta bulu roma saya menegak. Ya Allah… begitu sukar rupanya memerah rezeki di tanahMu. Saya menjangka sekiranya saya lama menunggu, saya mungkin akan menjadi rezeki harimau terbabit. Saya tidak tahu sudah berapa lama harimau terbabit memerhatikan saya. Mengapa dia tidak terus menyerang dan meratah saya? Adakah dia tertarik dengan nyanyian lagu Bayangan Gurauan (Mega) yang saya nyanyikan? Saya cuma bernasib baik dan bersyukur keluarga masih mempunyai saya. Mulai dari hari itu, ayah tidak pernah meninggalkan saya di mana-mana, walaupun terpaksa meredah semula belukar untuk mengambil semula rokok yang tertinggal di tempat kutipan. Itu satu cerita saya hampir menjadi rezeki semasa mencari rezeki. Berbalik semula kepada undang-undang yang mewajibkan kanak-kanak untuk bersekolah. Jujurnya saya membenci zaman persekolahan. Mengapa saya mempunyai sikap benci persekitaran sekolah? Mudah. Kerana ibu dan ayah terpaksa bersusah payah, dengan pendapatan kurang daripada RM400 sebulan untuk menanggung tiga anak-anak yang bersekolah. Dan yang semakin susah, anak yang sepatutnya bersekolah, turut sama susah! Saya tidak menyalahkan mana-mana pihak. Saya langsung tidak meletakkan beban kemiskinan kami sekeluarga di bahu mana-mana pihak kerna persekolahan kami adik-beradik, mama dan ayah semakin boleh berehat di usia mereka kini. Namun saya tertanya kembali mengapa anak-anak yang bersekolah pada zaman kini semakin tidak menghargai kehidupan? Semakin tidak senang dengan pendapatan penjaga serendah seribu lebih sebulan? (sedangkan saya dan keluarga pernah hidup dengan pendapatan kurang dari lima ratus sebulan). Dan saya berpendapat dan bercadang agar diperkenankan undang-undang untuk mewajibkan setiap anak-anak diajar ilmu kesusahan, kemiskinan, dan beri mereka melalui pengalaman itu agar sekiranya mereka dewasa dan suatu hari nanti mereka mulai Berjaya, mereka tidak memandang enteng manusia yang berkata “aku ni orang susah…” kerna memang wujud orang susah di dalam kehidupan, dan di kalangan dari rakan-rakan kita.