Friday, December 3, 2010

Budaya

Kau mengalunkan gendang irama
dalam gemerencang pesta kemeriahan
penuh kepura-puraan
saat anjing setiamu bebas keliaran
menjinjing belulang busuk
yang nanahnya tertera namamu

Kau datang lagi membawa khabar hibur-hiburan
dalam bingit pesta kemewahan
yang kaya-kaya miskin-miskin
saat anjing setiamu masih bebas keliaran
mengejar aku

Satu…
Satu…
Satu…
Satu…
Satu…

Apapapapapapapapapapapapapa?
Keliar berkeliaran mengundang gundah
masa aku menyampah
Apapapapapapapapapapapapapa?
Tak aku takut anjing setiamu itu
kerana anjing itu
turut golongan aku!

“Dalam kemeriahan pesta” (20Jun2008)

Sesekali aku menjuakkan pertanyaan di mana tempatnya untuk seorang individu yang cuba membangunkan budayanya di dalam masyarakat yang sudah jauh mengejar kemajuan. Berjuang secara sendirian kerna baginya dia sudah jemu dengan sekelompok pertubuhan yang hanya pandai mencanangkan peranan pembangunan sesuatu budaya dalam memastikan keseiringan dengan kemajuan. Namun masing-masing lupa. Lupa sebenar lupa dengan pegangan dalam sesebuah budaya masyarakat. Melayu khususnya di sini. Aku memetik kata-kata indah Hamka, “Falsafah sebagai penjelasan hidup, kesusasteraan sebagai nyanyian hidup, kesenian sebagai intisari hidup, Tasawuf sebagai intisari hidup, Ibadat sebagai pegangan hidup”.


Pada era baru ini dalam penglihatanku terhadap masyarakat kata-kata Hamka kini hanya menjadi bahan simpanan arkib, kerna setelah pengamatan bagiku; “Falsafah hanya sebagai satu matapelajaran di Universiti, kesusasteraan sebagai aliran matapelajaran sekolah menengah, kesenian sebagai mata pencarian, Tasawuf sebagai ilmu yang ditakuti,dan Ibadat sebagai pembuktian bahawa ia orang yang baik”.


Kesemua seakan lupa bahawa semua perkara ini yang sedikit sebanyak memberi sumbangan dalam mempertingkatkan martabat insan. Aku tertarik dengan ungkapan Aripin Said yang mengatakan “Keteguhan negara bangsa untuk meneruskan serta membina peradapan adalah berlandaskan keyakinan yang ada pada rakyatnya”. Sekiranya rakyat sesebuah negara yakin antara satu dengan yang lain, dalam membangunkan struktur budaya bangsa terbabit, maka sesebuah negara itu bakal membangun di samping masyarakat yang bersatu.

Untukku, bangsa Timur , Melayu pada pengamatanku perlu menghormati. Penghormatan kepada setiap individu. Seperti menghormati diri sendiri. Ianya seperti tugas individu yang sedia ada dalam diri. Perhubungan yang wujud merupakan matlamat dalam penghormatan ini. Tak semestinya dengan memperkenalkan diri sendiri kepada individu lain, tetapi boleh ditunjukkan melalui pekerti dan peribadi. Aku khususnya cuba “menjual” budaya Melayuku melalui puisi. Walaupun beberapa tulisanku kelihatan seperti menyisihkan ras sendiri, tetapi bagiku itulah cara perkenalanku. Itulah cara aku menghormati masyarakatku, seperti aku menghormati diriku sendiri.

Mencipta sajak bagiku seperti aku sedang bersuara di kalangan orang-orang yang ingin mendengar. Mereka yang mahu tahu pendapat orang lain, dan cuba untuk menjalinkan satu hubungan dengannya. Sajak itu bukan hanya perkataan, bukan cuma ungkapan, tetapi penyambung satu rantaian seorang manusia dengan manusia yang lain.

Selalu aku mendengar orang berkata, untuk menjadi penyair, pemuisi, seniman, seseorang individu itu perlu mempunyai satu kekuatan. Kekuatan untuk menyampaikan sesuatu di dalam karyanya. Bagiku aku tidak mempunyai apa-apa kekuatan di dalam tulisanku kerna puisiku hanya satu susunan kata yang membentuk SIAPA DIRI AKU SEBENARNYA. Aku mempertahankan bahawa di dalam setiap sajak tulisanku, mewakili satu bahagian dari dalam diriku. Begitu juga dengan jutaan sajak-sajak tulisan seniman lain yang mana setiap satu darinya mewakili satu bahagian dari dalam diri mereka.

Guruku, Abd. Ghaffar Ibrahim (AGI) seorang seniman yang banyak mengajarku tentang nafas. Yang selalu memberi dorongan, yang memperkenalkan aku dengan dunia kepenyairan. Pernah dia berkata kepadaku bahawa aku perlu berani. Dari sajak-sajakku aku menjual budayaku. Aku menjual dengan memperkenalkan aku. Aku sebagai wakil budayaku. Dalam perkenalan itu, aku perlu mengejar setiap patah dan ungkapan yang ku tulis dan lafazkan. Maksudnya, aku harus faham akan undang-undang dan tradisi dalam budayaku. Yang penting, aku perlu mempertahankan apa yang telah terhambur daripada karyaku. Mudah untuk bersuara, payah andai terlajak kata. Untuk itu, aku perlu berhati-hati.

Sajak pada masa kini lahir dengan rakus. Setiap dari seorang individu telah dan pernah menghasilkan sekurang-kurangnya sebuah sajak. Samaada secara rela atau terpaksa kerana tuntutan matapelajaran di sekolah. Bagaimana untuk kita menilai sama ada sesebuah sajak itu benar-benar memberi kesan dalam pembangunan budaya, khususnya dunia sastera? Adakah dengan penggunaan perkataan-perkataan yang hanya dapat difahami oleh sesetengah individu? Atau melalui penyampaian tulisan sajak tersebut yang mempunyai pola susunan tersendiri? Banyak pertanyaan yang memungkinkan kembali persoalan apakah kekuatan sajak tersebut. Bagiku sajak itu adalah sajak apabila ia memulangkan sesuatu kepada kita yang tak pernah kita ketahui dipinjam. Ia memberikan jawapan kepada soalan yang tidak pernah kita tanya. Memberikan nikmat dalam sesaat penderitaan dan kepayahan hidup kita. Sajak itu memberi salamnya, lalu kita sambut dengan terbuka, kita cuba mengenali siapa sajak itu dan bersahabat dengannya.

Sajak yang menjadi sahabat pertamaku adalah sajak Dalam 58, dari himpunan “Dari Dalam Dalam”, Sani Sudin. Mulanya aku menganggap sahabatku ini gila. Kerna ketegasannya, kerna marahnya, kerna maki-makiannya, kerna ketidak puas hatinya. Setelah beberapa lama aku berdamping dengan susunan isinya, aku mulai mengenal dirinya. Sedikit demi sedikit rahsianya dipecahkan sehingga akhirnya aku sedari dan mengakui ia sahabatku kerna sikapnya sedikit sebanyak seperti sikapku. Tegasnya seperti tegasku, marahnya seperti marahku, makinya seperti makianku dan jeleknya seperti jelekku. Ia seperti aku. Pengamatanku. Terus aku menerimanya. Sifat kritis penulisnya dalam menyampaikan rasa dan pengalaman sama dengan gelodak dan bentakku. Tak salah kalau aku katakan bahawa pengalaman rasa penulisnya sama dengan pengalaman rasaku, sungguhpun aku belum pernah bersua dengannya. Di situlah indahnya sajak bagiku. Nikmatnya apabila kita merasai pengalaman itu. Apabila kita tahu kita tidak bersendiri. Sehingga kita mengaku, DIA MEMANG BERANI! Pantasnya sajak itu menjadi wakil individu, iaitu penulisnya.

Setiap dari satu sajak yang kutulis berubah-rubah nada dan gayanya. Namun aku tetap menyimpan tema yang sama. Pencarian kehidupan yang aman. Benar-benar aman. Cuma sesekali aku membidas golongan yang langsung tidak mengambil peduli akan makna kehidupan. Golongan yang terus-terusan menjadikan kehidupan mereka hanya untuk dinikmati oleh diri dan keluarga mereka sendiri. Di sinilah tanggungjawabku untuk menyatukan setiap masyarakat tanpa mengira kaum, kerna manusia berasal dari benih yang sama. Tanpa mengira darjat kerna menghirup nafas dan berpijak di bumi yang sama. Tanpa mengira agama, kerna dicipta oleh Tuhan yang satu. Bagiku setiap individu adalah sama, semua sama. Hidup kerna Allah Taala. Jadi tidak perlu meminggirkan sesuatu individu itu kerana dia, siapapun dia, dia hidup bersama budayanya dan mungkin kerana sesuatu, dia bertanggungjawab untuk “menjual” budayanya.


Zura Firdaus Japri

5 comments:

Cik Norfa said...

siapa HAMKA sebenarnya?

Zura Firdaus B. Japri said...

misteri... kakakkakkkkkkkk

ZULKIFLI BIN MOHAMED said...

Salam Zura,

"wah!, kacak sekarang dengan kemeja panjang dan tali lehernya, apa cerita sekarang ?"

Zura Firdaus B. Japri said...

zulkifli, alhamdulillah saya sihat... hahaha bnyk cerita tapi...

Nur'alin said...
This comment has been removed by the author.